background

::Wedding Anniversary::

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

10 October 2013

:: Perjalanan Seorang Dewasa ::

Aku ingin sekali menegurmu..
Aku ingin sekali menasihatimu..
Aku ingin memotivasikanmu..
Tapi aku takut dan ragu..
Mungkin hanya tempelakmu aku dapat sebagai balasan..
Lantas ku simpan niat itu..
Terbantut..

Lantaklah..
Kamu sudah dewasa..
Kamu sudah matang..
Kamu sudah kenal permainan dunia ini..
Pandailah kamu berfikir
untuk setiap baik dan buruk tindakan kamu itu..

Tapi harus ingat..
Fikirkan juga kesan pihak lain atas tindakan kamu itu..
Melainkan kamu memang mahu hidup seorang diri didunia ini..

Mereka mungkin ikhlas memaafkan setiap perkara..
Tetapi tidak akan pernah melupakan..
Bukan berdendam
tapi ia cuma sebahagian kenangan dari perjalanan hidup..

Sepertimana aku tidak pernah melupakan kenangan semasa kecilku..

24 September 2013

:: Longlai ::

Hidup ini bukanlah suatu jalan yang datar dan ditaburi bunga
melainkan adakalanya disirami airmata dan juga darah - Hamka

Ya..memang benar hidup ini bukan mudah..
Perjalanannya kadang-kadang penuh dengan ranjau berduri..
Seringkali itu juga tapak kaki berdarah tertusuk duri yang tajam..

Kadangkala ujian yang datang tu teramat berat sehingga rasa putus asa..
Tak mampu nak kira airmata yang menitik..
Bahu yang terhingut-hingut menahan sebak dan sayu sudah lali..
lemahnya diri..rasa mahu tersembam  ke bumi..
Bagai dah sampai ke hujung jalan mati..
Ya Allah, lemahnya aku!
Aku dah tak mampu lagi, ya Allah..

Banyak kekuatan yang aku bina untuk meneruskan hidup
tapi segala kekuatan yang ada selama ini hancur lebur begitu saja dek ujian yang datang..
Nampak seperti orang yang sentiasa bermotivasi, tapi kalah jua akhirnya..
Sentiasa memberi semangat kepada orang sekeliling, tapi rebah juga motivasi diri sendiri..
Seringkali airmata menemani saat berdialog dengan Allah..

Kadangkala cemburu melihat orang lain kelihatan bahagia..
Aku dah penat..dah letih..dah tak mampu..
Sesak nafas..sempit dada..
Aku juga ingin bahagia ya Allah..
Aku juga ingin bergelak tawa seperti mereka-mereka yang lain..
Tapi kenapa aku sering dikunjungi dugaan dan airmata?

Anugerahkanlah aku kekuatan ya Allah..
Kekuatan agar aku mampu meneruskan langkahku di muka bumi ini..
Biarlah tak mampu meneruskan langkah dengan berlari, berjalan, merangkak sekalipun.
Mengesot pun sudah mencukupi asalkan aku mampu teruskan langkah setiap hari..

Longlai sungguh tubuh ini..
Rasa tak berdaya..
Lemah benar..

23 September 2013

:: Untitled 3 ::


Kadangkala kita perlu menyepi untuk mencari kekuatan diri yang hilang..

Adakalanya kita perlu menyepi untuk mencari ketenangan hati..

Adakalanya perlu menyepi untuk kebaikan sendiri..


18 September 2013

:: Rahsia Kebahagiaan ::

Aku terbaca satu artikel di facebook. Artikel berkaitan rahsia kebahagiaan.
Rahsianya mudah, hanya bila kematian menghampiri kita dan kita mula bersyukur.
Ini artikelnya aku kongsikan.

Seorang lelaki berjumpa dengan seorang Ustaz. "Ustaz, saya bosan hidup. Rumah tangga berantakan. Perniagaan mengalami kerugian. Saya ingin mati."
Ustaz itu tersenyum, "Oh, kamu sakit. Dan penyakit kamu tentu boleh sembuh." 
"Tidak Ustaz, tidak. Saya tidak ingin hidup," tolak lelaki itu. 
"Baiklah. Ambil racun ini. Minum setengah botol malam ini, bakinya minum petang esok jam 6. Jam 8 malam kamu akan mati dengan tenang." 
Lelaki itu hairan. Setiap ustaz yang dia jumpa selalu memberikannya semangat untuk hidup. Tapi ustaz ini menawarkan racun. 
Sampai di rumah, dia pun meminum setengah botol racun. Lalu dia memutuskan untuk makan malam dengan keluarganya di restoran Jepun yang sudah lama tak pernah dia lakukan. 
Untuk meninggalkan kenangan manis, dia pun bersenda gurau dengan gembira. Sebelum tidur, dia mencium isterinya dan berbisik, "Sayang, abang mencintaimu." 
Keesokkannya, dia membuka tingkap bilik dan melihat ke luar. Tiupan angin pagi menyegarkan tubuhnya. Dan dia terdorong untuk berjalan-jalan di waktu pagi. 
Pulang ke rumah, isterinya masih tidur. Dia pun membuat dua cawan kopi. Satu untuk dirinya, satu untuk isterinya. Isterinya merasa aneh, "Abang, apa yang terjadi? Selama ini, mungkin saya ada buat salah. Maafkan saya ya abang?" 
Di pejabat, dia menyapa semua orang. Kakitangannya pun hairan, "Hari ini, bos kita nampak pelik ya?" Dia menjadi lebih bertolak ansur dan menghargai setiap pendapat. Dia mulai menikmati hidupnya. 
Dia pulang pada pukul 5 petang, dan ternyata isterinya menunggunya. Isterinya menciumnya, "Abang, sekali lagi saya mohon maaf, kalau selama ini saya selalu menyusahkan abang." Anak-anak pun semakin berani bermanja-manja dengannya. 
Tiba-tiba, dia merasa hidup begitu indah. Dia mahu membatalkan niatnya untuk bunuh diri. Tetapi bagaimana dengan racun yang sudah dia minum? 
Dia bergegas pergi berjumpa dengan ustaz tersebut, "Kamu buang saja botol itu. Isinya cuma air biasa. Kamu sudah sembuh. Bila kamu hidup dengan kesedaran bahawa kematian akan menjemput kamu bila-bila masa saja, maka kamu akan menikmati setiap detik kehidupan. Rendahkan ego kamu. 
Bersyukurlah! Itulah rahsia kehidupan. Itulah kunci kebahagiaan, jalan menuju ketenangan.

11 September 2013

:: Sendiri ::

Sendiri..

Sendiri ku diam..

Diam dan merenung..

Merenung jalan yang telah ku pilih..

10 September 2013

:: Untitled ::

Kadang-kadang kita tersenyum
demi menutup kesedihan dalam hati
daripada dilihat oleh orang yang melukai hati kita
suapaya dia terus senyum
walaupun hati kita hancur kerananya..

Airmata yang membuat seseorang sangat terluka
bukanlah yang jatuh dari air mata yang membasahi wajah..
tetapi
yang jatuh dari hati membasuhi jiwa..

31 July 2013

:: Bahasa Jiwa Bangsa ::

Kalau kita tak mampu untuk bercakap menggunakan kata-kata atau bahasa yang baik,

maka berdiam diri adalah jalan terbaik..

Jangan puaskan hati sendiri dengan menyakiti hati orang lain..

Orang lain tidak punya hatikah?


26 July 2013

:: Tuhan kan Ada ::

Rabbi yassir walaa tu'assir
Rabbi tammim bilkhair..

Tuhanku permudahkanlah dan jangan dipersulit
Tuhanku tamatkanlah dengan sebaik-baik kesudahan..

Pengakhiran tak semestinya maut sahaja..
termasuk juga masalah-masalah dunia atau apa saja..
Sebab kita kena yakin dugaan akan habis..
bersangkabaiklah dengan tuhan yang maha bijaksana memberi sebaik-baik pengakhiran..

Kalau kita sudah yakin tuhan selalu berikan keindahan disetiap hujung kesusahan,
kenapa kita perlu mengadu domba memanjang cerita menyebar kisah untuk terus dipersepahkan?

Diam itu sentiasa terbaik.
Sentiasa.

Cuba ajar diri tadah dugaan sorang-sorang diam-diam.
Cuba untuk tidak berkongsi masalah.
Cuba nangis di sejadah mintak semuanya tenggelam.

Diam.
Biar.
Redha.
Tuhan kan ada..

25 July 2013

:: Hidup ::

Hidup ini tak macam balapan
Tak semua orang bermula dari garis yang sama
Tak ada das dilepaskan dengan syarat :
semua orang mesti bermula secara sama rata,
atau perlawanan terbatal dan kita perlu mula semula..

Hidup pasti lebih mudah kalau kita semua bermula di garis yang sama pangkalnya
Tapi tidak..
Allah bergerak dengan kebijaksaan dia dan penuh misteri
Hendak tak hendak,
kita perlu terima
Siapa kita hendak persoal?

Entahlah.

Kita tak pernah tahu pengakhiran hidup kita
sebab yang maha mengetahui cuma satu
yakni Dia..

Takpe..
Terima kenyataan..
Kita Sedar diri..
Pelan-pelan kayuh..
dan jangan busuk hati..
Untung sabut timbul..

:)

23 July 2013

:: Ku Pilih Bahagia ::

Aku mungkin seperti tidak mengambil kisah atas apa yang terjadi di sekeliling aku
Aku mungkin juga seperti tiada masalah..

tetapi ketahui lah

Jika hati aku boleh diselami,
lihatlah betapa hati aku telah banyak dilukai..
lihatlah betapa banyak masalah telah aku pendam didalamnya
lihatlah betapa risaunya aku untuk teruskan hidup ini..

Aku bukan antara mereka-mereka yang akan meluahkan segala rasa hati..

Biar semuanya aku pendam
Biar semuanya aku saja yang merasa..

Aku pilih untuk gembira dan bahagia biar apa pun rasa hati ini..

18 July 2013

:: Salah ::

Aku salah..

Aku kalah..

Aku bermasalah..

12 July 2013

:: Jika Hari Esok Tidak Muncul Tiba ::

Andai aku tahu ini akan menjadi terakhir kalinya kulihat dirimu terlelap tidur,
aku akan menyelimutimu dengan lebih rapat dan berdoa kepada Allah agar menjagamu.

Andai aku tahu ini akan menjadi terakhir kalinya kulihat dirimu melangkah keluar pintu,
aku akan memelukmu dengan erat dan menciummu
dan memanggilmu kembali untuk melakukannya sekali lagi.

Andai aku tahu ini akan menjadi terakhir kalinya kudengar suaramu memuji,
aku akan merakam setiap kata dan aku akan mendengarnya pada kemudian hari.

Andai aku tahu ini akan menjadi terakhir kalinya,
aku akan meluangkan masa untuk tidak berhenti mengatakan "Aku Mencintaimu"
dan bukannya mengganggap kau sudah tahu.

Esok tidak dijanjikan kepada sesiapa pun,
baik tua mahupun muda.
Dan hari ini mungkin kesempatan terakhir kita
untuk memeluk erat orang-orang yang disayangi.

Jadi,
kenapa perlu menunggu esok hari?
kenapa tidak dilakukan sekarang juga?
kenapa perlu ditangguhkan kemaafan?

Kerana bilamana esok tak muncul tiba
pasti sesungguhnya kamu akan menyesal
menyesal kerana tidak dapat berkasih sayang
dan meluangkan waktu bersama-sama dengan orang yang tersayang..
Berkasih sayanglah kepada orang-orang yang disayangi..
bisikkanlah ke telinga mereka bahawasanya kamu sangat mencintai mereka
dan kamu akan senantiasa tetap menyayangi mereka..

Kerana
esok belum pasti...

10 July 2013

:: Permulaan Ramadhan ::



Syukur Alhamdulillah.
Kita dipanjangkan umur untuk bertemu dengan Ramadan pada tahun ini..

Ramadhan kali ini sudah tentunya lain dari Ramadhan aku sebelumnya.
Kali ini bersama suami tercinta.
Momen-momen bersahur bersama dan lain-lainnya adalah priceless.

Sempena bulan yang penuh barakah ini
Jomlah kita cuba buat extra amalan yang baik pada bulan ini.
Walaupun sebenarnya tak perlu tunggu Ramadhan baru nak buat,
tapi aku percaya kalau itu boleh jadi motivasi untuk kita buat extra amalan,
tak salah kot.

Contoh,
kalau bulan ni kita dah start bersedekah,
dengan motivasi yang apa pun kita buat bulan ni pahalanya double,
kita buat jer.
InsyaAllah bulan-bulan yang lain
kita akan terus tersimpan sifat suka bersedekah dalam diri kita
Mulakan dari hari ini. Itu contoh. InsyaAllah.

Dan jangan lupa,
banyak lagi amalan yang baik kita boleh buat selain dari bersedekah sahaja.
Tapi kalau kita buat seikhlas-ikhlas yang boleh
tanpa mengharapkan balasan dunia dan akhirat
oh, itu lagi best!

Kita sama-sama doa agar Allah Ta'ala terima setiap amalan kita.
Selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslihat.
Selamat menyambut Ramadhan Al-mubarak.

28 June 2013

:: Kosong ::

Kosong

Kosong

Kosong

Hurrmm..

19 June 2013

:: Antara Kita Dan Kehidupan ::

Semakin lama semakin meningkat umur
kehidupan bujang dah aku tinggalkan
jadi segala-galanya lain...

Kemarahan yang dulu-dulu aku buangkan
lebih tenang dan senang..
Setiap hari bangun pagi,
fikir pasal rumah, rumahtangga dan masa depan rumahtangga
fikir tentang kerjaya, fikir tentang kewangan.
Hidup perlu lebih serius. Fokus.

Dulu aku banyak kemarahan.
Tentang isu ini, isu itu.
Tentang perkara-perkara yang mengusik jiwa.
Kandungannya dah berbeza.

Nampak?

Aku angguk-anggukkan kepala.
Setuju pada diri sendiri.
Bila aku pusing belakang
ya, aku makin percaya dengan pendapat aku sendiri.

Hmmm..

Tapi baru-baru ni aku terfikir,
kalau bujang halangannya lain
dah kawin pun halangannya lain
kita takkan terlepas..
Halangan atau dugaan ni sentiasa datang
Biasalah tu.
Diam dan senyum je.
Ketawakan je..

Lepas tu aku fikir lagi
antara "kita" dan "kehidupan"
Siapa yang patut mentertawakan siapa?

08 June 2013

:: Bukan Harapan, Ia Persoalan ::

Kadangkala
ada ruang-ruang kosong dalam hidup yang tak perlu kita selongkar.
Biar ia tertutup rapat.
Biar ia menjadi mampat dengan angin bergelimpangan di dalamnya.
Tak tembus walau cuba dibocorkan oleh kenangan, harapan, kesedihan, kegembiraan dan apa saja.
Biar ia terus kosong.
Tertanam dalam kepadatan rutin-rutin tuntutan kehidupan.

Ia memang diciptanya begitu.
Sampai sudah kita tak mungkin bertemu jawapan.
Bukan harapan, tapi inilah persoalan.

06 June 2013

:: Sebab Bersebab ::

Ada waktu, apa yang aku pilih untuk lalui,
tidak bersebab. Tiada.
Aku putuskan untuk laluinya saja.
Redah. Berserah.

Mungkin dalam melaluinya itu, aku akan jumpa sebabnya.
Mungkin.

Tapi kalau sebabnya aku tak jumpa juga
bermakna ia memang tidak bersebab.

Jadi jangan tanyalah.

05 June 2013

:: Pulangan Untuk Setiap Pemberian ::


Ketepikan soal ikhlas..

Aku percaya
dan aku masih percaya
setiap dari kita mengharapkan sesuatu yang baik berlaku dalam hidup kita
setelah kita memberikan sesuatu yang terbaik
Walaupun tidak banyak yang kita harapkan
tetapi sekurangnya ada pulangannya disitu..

Bila kita kuat bekerja..kita mengharapkan gaji yang lebih..
Bila kita mencari peluang hidup..kita mengharapkan urusan kita dipermudahkan
Bila kita berfikir sebelum berkata-kata..kita mengharapkan orang lain lebih menjaga tutur kata
Bila kita menjaga hati orang lain..kita mengharapkan hati kita juga akan dijaga seperti itu

Setiap orang mempunyai masalah tersendiri
Setiap orang mempunyai bebanan tersendiri
tapi..
sejauh mana kita mampu menghadapinya?
sejauh mana kita mampu menjadi manusia yang bersyukur?
sejauh mana kita mampu bersabar?

Jaga adab
Jaga tingkahlaku
Jaga akhlak
Jaga iman


27 April 2013

:: Hari Terakhir Di SKBBSL ::



04.04.2013
Khamis.
Hari terakhir aku bertugas di SKBBSL.

Hanya Allah yang tahu betapa beratnya kaki aku untuk melangkah.
Melangkah meninggalkan keluarga besar aku disini.
Melangkah meninggalkan sahabat semasa susah dan senang aku.
Hanya Allah juga yang tahu.

Terima kasih.
Terima kasih atas segala ilmu yang dicurahkan.
Terima kasih atas segala tunjuk ajar yang diberikan.
Terima kasih atas kasih sayang ini.
Terima kasih atas keprihatinan selama ini.
Terima kasih atas nasihat-nasihat yang tak pernah kurang.
Terima kasih atas segalanya.
Hanya Allah yang mampu membalas semuanya.

Adakah aku akan dapat keluarga besar macam ni lagi ditempat baru?
Mungkin ya. Mungkin tak.

Hari ini 27.04.2013
Sabtu.
Rindu masih bertamu dihati.
InsyaAllah, panjang umur kita berjumpa lagi.

::Pertukaran::

22.03.2013
Tarikh yang aku tunggu-tunggu tanpa jemu
Tarikh keputusan pertukaran tempat bertugas..

Dan keputusannya:


Berjaya!!!!
Yeayyy!!!!
Alhamdulilah..
Terima kasih kepada pihak-pihak yang banyak membantu
dalam pertukaran aku ini.
Aku sememangnya sangat berharap
permohonan pertukaran aku ini akan berjaya.
Walaupun sejujurnya,
aku belum bersedia untuk merasa suasana baru tempat bertugas
dan aku juga belum bersedia untuk berpindah ke tempat baru.
Aku belum bersedia sepenuhnya dari segi mental.

Kenapa tinggalkan keselesaan tempat bertugas?
Kenapa tinggalkan semua keselesaan yang ada di sungai petani?
Kenapa pergi jauh dari keluarga sendiri di kedah?
Tanggungjawab.
Tanggungjawab yang membuatkan aku tinggalkan semua itu.
Lagipun sampai bila aku nak hidup keseorangan di sungai petani?
Kalau aku masih bujang, itu cerita lain.
Masalahnya sekarang aku dah berkahwin.
Takkan dah berkahwin pun nak hidup berseorangan lagi..kan?
Aku perlu bertindak.
Aku perlu berkorban.
Aku perlu melangkah setapak bagi mendekatkan jarak yang jauh ini.

Mungkin dengan pertukaran ini adalah yang terbaik untuk masa depan aku.
Mungkin dengan pertukaran ini juga adalah yang terbaik untuk rumahtangga aku.
Tak ada siapa yang tahu.
semuanya rahsia Allah.
Aku perlu positif.
Positif untuk semuanya.

Aku cuma berharap,
semoga pengorbanan ini berbaloi,
semoga pengorbanan ini tak disia-siakan,
dan semoga aku semakin kuat dan tabah untuk sebarang kemungkinan yang mendatang.

27 February 2013

:: Kisah Si Penjual Tempe ::

Semasa aku online facebook beberapa hari lepas
aku terbaca sebuah artikel
tentang seorang penjual tempe..

Disini aku kongsi artikel tersebut
moga menjadi iktibar :)

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidupnya. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri. 
Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba-tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, ia separuh matang. Biasaannya tempe beliau telah matang sebelum dia bertolak ke pasar. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah memang semuanya masih belum matang lagi. Perempuan tua itu berasa amat sedih kerana tempenya masih belum menjadi, sudah pasti ia tidak dapat dijual dan tiadalah rezekinya pada hari itu.

Dalam keadaan yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan  bahwa tiada yang mustahil bagi Allah. Lalu dia pun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , "Ya Allah, aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin". Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika kerana kacang tu masih tetap kacang soya. Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. "Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soya ini kepada tempe, Amin". Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!!

Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah dipenuhi dengan ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walaubagaimanapun karena keyakinannya yg sangat tinggi dia memutuskan untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu.

Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan perjalanannya ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak. Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi dalam perjalanannya kepasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. "Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju kepasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini.Amin".

Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya. Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada. Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan. Dia merasakan Allah tidak adil. Allah tidak kasihan padanya, kerana inilah satu-satunya sumber rezekinya, hasil jualan tempe.

Dia akhirnya cuma duduk saja tanpa mepamerkan barang jualannya kerana dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang separuh matang itu. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mula sepi, para pembeli sudah mula berkurangan. Dia melihat-lihat kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahwa hari ini dia tidak mempunyai hasil jualan langsung. Namun jauh disudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan mendapat sebarang pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Ya Allah,berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.
Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita. "Maaf ya, saya ingin bertanya, Mak cik ada menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum jumpa" Dia terkejut dan terkedu seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun dia menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya "YA Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti sediakala, Amin". Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah terkejutnya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi!
Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya kepada wanita itu, "Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?" Wanita itu menerangkan bahwa anaknya yang kini berada di luar negara ingin makan tempe dari kampung. Oleh kerana tempe itu akan diposkan ke England, si ibu tadi membeli tempe yang belum menjadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau diposkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak enak lagi dan rasanya pun kurang sedap. Perempuan tua itu pun menyedari bahawa doanya sudah dimakbulkan oleh Allah.

Moral:
  • Belum tentu apa yang kita suka itu terbaik untuk kita dan belum tentu apa yang kita benci itu adalah terburuk untuk kita padahal sesungguhnya Allah itulah yang Maha Mengetahui. Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah maka dijadikan baginya jalan keluar dan diberikan rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.
  • Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagaihambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Allah akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.
  • Tiada yang mustahil bagi Allah

20 February 2013

:: Tukar Status ::

10 November 2012
Permulaan chapter baru dalam hidup aku..

Sekarang aku dah menjadi isteri..
Isteri kepada Mohd Razzaman Ramli..
Alhamdulilah..

Ya Allah...
Panjangkanlah jodoh kami..
Kukuhkanlah kasih sayang antara kami..
Jauhkanlah kami dari perselisihan faham..
Limpahkanlah rahmat keatas perkahwinan kami ini..
Sesungguhnya kepadaMu tempat kami memohon..
Amin ya rabbal alamin..